JUN 2022

Kerajaan GPS Berjaya Atasi Cabaran Semasa Pandemik


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak hanya terhad memperjuangkan isu tempatan namun turut memacu potensi baharu memperkasakan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Demikian kata Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-15 Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.

Katanya, Parti PBB kini berjaya mengatur langkah dalam membawa Sarawak ke era pembangunan seiring perkembangan semasa dunia.

"Parti PBB bukan lagi parti kampung. Parti PBB hari ini mengorak satu langkah ke hadapan seiring dengan apa yang berlaku di dunia… dunia telah mengiktiraf potensi Sarawak di Malaysia,” katanya.

Premier Sarawak itu turut menyamakan Parti PBB seperti sekumpulan wanita silat yang memukaunya dengan gabungan tarian tradisional dan persembahan silat semasa menyambut ketibaan beliau.

“Saya agak terkejut apabila kumpulan gadis yang anggun menari menyambut kedatangan kami yang kemudian bertukar melakukan ‘silat’ pada pertengahan persembahan. Ini bermakna mereka pendiam pada mulanya.

"Seolah-olah mereka (perempuan) menarik anda dengan kecantikan mereka. Tetapi apabila anda mencabar mereka, mereka akan bertindak balas dengan membuka silat.

"Itu sama dengan Parti PBB. Walaupun PBB lembut, apabila sekali dicabar, kita akan hadapinya dengan berani," katanya.

Kata Abang Johari, Parti PBB telah melalui beberapa cabaran getir sewaktu beliau mengambil alih kepimpinan namun cabaran berkenaan berjaya diatasi Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Ini termasuk menghadapi ketidaktentuan politik di peringkat persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Parti PBB bersama-sama pimpinan tiga parti tempatan lain di Sarawak mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).

"Antara cabaran lain ialah semasa pandemik Covid-19. Kita menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk mengatasi masalah itu dan membelanjakan peruntukan besar untuk pelancaran vaksin Covid-19.

"Kita turut menubuhkan pusat kuarantin untuk pengasingan pesakit dan memberi bantuan kebajikan kepada rakyat dan semua itu dilaksanakan dengan dana kerajaan negeri sendiri, demi keselamatan rakyat," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti